Mahar
Dan Wang Hantaran:Satu Analisis Mencari Keberkatan Dan Keredhaan Daripada
Allah
Mastura Binti Syamsudin
Calon Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam
P-SM0074/12
Mahar
disyariatkan dalam Islam bukanlah untuk menjadi pelengkap dalam majlis akad
nikah namun ia merupakan satu bentuk pemberian wajib yang diberikan oleh pihak
suami kepada isteri untuk mengiktiraf dan menghargai isteri dalam perkahwinan
Islam. Namun begitu pada hari ini, masyarakat Melayu lebih mengutamakan amalan
hantaran yang hanya menjadi adat dalam masyarakat Melayu dan ianya bukan
menjadi satu kewajiban dalam Islam. Jika dibandingkan dengan peranan mahar itu
sendiri ia menyebabkan peranan mahar yang menjadi syariat dalam Islam tidak
lagi memainkan peranan penting sebagaimana yang disyariatkan.
Menurut
perspektif Islam, mahar sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang dapat
dirujuk di dalam Al-Quran sebagai istilah al-sadaq,
al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-aqd. Menurut istilah syarak pula mahar merupakan satu pemberian
yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab pernikahan. Mengikut
Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984
menyatakan bahawa “mas kahwin” bermaksud
pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar dibawah hukum syarak oleh pihak suami
kepada isteri pada masa perkahwinan yang diakadnikahkan, sama ada ia berbentuk
wang ataupun Al-Quran dan sebagainya. Berdasarkan firman Allah SWT yang
bermaksud:
Maksud: “dan berikanlah kepada
perempuan-perempuan (isteri) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian yang
wajib.Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas
kahwinnya,maka makanlah (gunakanlah) pemberian tersebut sebagai nikmat yang
baik lagi lazat”.
(An-Nisa’4: 4)
Maksudnya : “mana-mana perempuan
yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah
dia menjadi isteri kamu) maka
berikanlah mereka maharnya sebagai satu ketetapan yang
difardhu (diwajibkan oleh Allah)
(An-Nisa’ 4: 24)
Berdasarkan
kedua-dua ayat ini, jelaslah bahawa mahar wajib diberikan kepada isteri-isteri
yang sudah dinikahi. Walaupun tidak dinyatakan nilai maksima atau minima
sesuatu mahar tersebut, pihak suami wajib memberi mahar kepada isterinya. Para
fuqaha’ melihat mahar bukanlah sebagai hadiah pemberian sukarela tetapi lebih
cenderung kepada satu pemberian yang dapat memberi jaminan kepada isteri kerana
mahar secara dasarnya mestilah dengan sesuatu yang berharga dan mempunyai
nilai. Walaupun Islam tidak meletak nilai maksima dan minima dalam pemberian
mahar, namun ianya boleh dilihat dari contoh kisah pemberian mahar Nabi Muhammad S.A.W
kepada isteri baginda, Siti Aisyah. Ibnu Sa’ad telah memberi dua kenyataan
dalam pemberian mahar Nabi kepada Siti Aisyah. Pertama, Nabi telah memberi
sebuah rumah yang berharga bernilai 50 dirham kepada Siti Aisyah. Kenyataan
kedua, Aisyah pernah menyatakan bahawa Nabi telah memberi mahar sebanyak 12 uqiyyah dan inasy iaitu sama dengan 500 dirham, 1 uqiyyah setara dengan 40 dirham, 1 nasy setara dengan 20 dirham. Menurut Ibnu Ishaq Nabi telah memberi
mahar kepada ister-isteri baginda sebanyak 12 uqiyyah dan 1 nasy. 1 nasy bersamaan dengan ½ uqiiyah iaitu jumlahnya adalah 500
dirham (Engku Ahmad Zaki,2010:40).Menurut Imam Syafie “sederhana dalam pemberian mas kahwin lebih aku sukai daripada
keterlaluan padanya” .Berlandaskan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud
:
Maksud: “perkahwinan paling besar
berkatnya adalah yang paling ringan maharnya”
(HR Ahmad 6 :82)
Berdasarkan
kajian yang bertajuk “Hubungan Di Antara Faktor Demografi Dengan Penentuan
Kadar Hantaran: Kajian Di Perlis, Kedah, Pulau Pinang Dan Perak”(Raihanah
Azahari, Khairun Najmi Saripudin, dan Raihana Abd Wahab,2009:112) dalam kajian
mereka,permasalahan timbul dalam kalangan masyarakat Melayu Islam pada masa
kini adalah terdapat dua faktor yang
menjadi amalan dalam masyarakat Melayu iaitu “mahar” dan “wang hantaran”. Mahar
sememangnya telah disebut di dalam Al-Quran sebagai pemberian yang wajib, namun
yang menjadi permasalahan apabila adat dikaitkan bersama dengan hukum agama. Kedua-dua
perkataan ini mempunyai konsep yang tersendiri, mahar sememangnya daripada
hukum syarak yang bermaksud pemberian wajib suami kepada isterinya dan mahar
yang diberikan menjadi milik mutlak si isteri. Berbeza pula dengan wang
hantaran yang lebih kepada konsep hadiah daripada pihak suami kepada pihak
isteri dan si isteri berhak memberi sebahagian daripada wang hantarannya untuk
majlis walimatul urus. Namun jika dilihat dan dikaji dengan mendalam wang
hantaran merupakan sesuatu perkara yang menjadi kewajiban dalam sesuatu majlis
perkahwinan. Walaupun tiada hukum yang mewajibkan wang hantaran namun ia sudah
menjadi satu kewajiban dalam masyarakat Melayu.
Pada
masa kini kita boleh perhatikan gelagat masyarakat yang sangat mengambil berat
dalam menentukan wang hantaran berbanding dalam menentukan nilai mahar. Hal ini
berkemungkinan mereka beranggapan bahawa mahar sememangnya telah ditetapkan
oleh Majlis Agama bagi setiap negeri masing-masing. Sekiranya diperhatikan
dalam konteks masyarakat Melayu pada hari ini mereka seolah-olah berlumba-lumba
dalam meletak nilai wang hantaran yang tinggi. Hal ini tidak menjadi
permasalahan sekiranya pihak lelaki sememangnya mahu memberi wang hantaran yang
besar, namun yang menjadi persoalan adalah pihak perempuan melatak nilai wang
hantaran yang tinggi namun menyusahkan pihak lelaki dan secara tidak langsung
memberi tekanan dan menyusahkan pihak lelaki. Jika diperhatikan dengan teliti
dan kita sendiri dapat perhatikan dengan jelas dengan gelagat masyarakat hari
ini sekiranya pihak perempuan meletakkan nilai wang hantaran tinggi dan ianya
diluar kemampuan pihak lelaki maka pelbagai kesan buruk akan timbul. Dalam hal
ini, saya kemukakan kes-kes yang dikeluarkan oleh Berita Semasa, September
2012.
Kes 1 : Wang hantaran RM12000.00 dan
belanja perkahwinan RM25000.00
Kes 2 : Membuat pinjaman RM20000.00
untuk belanja perkahwinan
Menurut
perspektif epistemilogi Islam berdasarkan kedua-dua kes yang dinyatakan ini
sememangnya memberi gambaran yang jelas ketidakrasionalan manusia dalam
berfikir. Hal ini demikian kerana menyusahkan pihak lelaki untuk mencari duit
yang sebegitu banyak. Sebagai umat Islam seharusnya berpegang kepada syariat
Islam, Islam telah menyuruh umatnya supaya tidak membentuk suasana yang
menyukarkan dan memudahkan yang halal. Namun sebaliknya berlaku dalam
masyarakat, walimatul urus dijadikan “jambatan keangkuhan” sehingga majlis
ditangguhkan kerana mahukan majlis yang lebih besar sedangkan mencukupi
sekiranya diadakan walimatul urus dan masyarakat mengetahui tentangnya serta
yang paling penting perkahwinan yang halal dilunaskan berlandaskan syariat
Islam. Namun hakikatnya masyarakat mengetahui bahawa Islam mengajar supaya
bersederhana dalam segala hal seperti mana terdapat dalam hadith yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : “dan sentiasalah
bersikap pertengahan,sederhana,hasil yang akan diperolehi dengannya,kamu akan
mencapai sasaranmu (syurga).”
( Hadith Riwayat Bukhari )
Berdasarkan
hadith tersebut jelaslah bahawa sememangnya Islam amat menganjurkan ummatnya
supaya bersikap bersederhana dalam sesuatu kerana apa yang ingin digapai
hakikatnya adalah keredhaan dan keberkatan daripada Allah. Dari segi hukum ia
menjadi haram dan berdosa kerana memberi bebanan sedangkan sekiranya sudah ada
kemampuan ianya memadai untuk dilaksanakan dengan segera perkahwinan itu dan
berdosa sekiranya majlis walimatul urus yang dilaksanakan didasari dengan
keangkuhan dan kesombongan dalam diri manusia kerana inginkan kemegahan dan
pujian. Begitu juga dalam kita menguruskan sesuatu majlis perkahwinan, memadailah
seandainya bersederhana dan tidak bermegah-megah kerana ditakuti apabila terlalu inginkan kemegahan dibimbangi redha
Allah akan berjauhan kerana hati dipenuhi dengan sikap angkuh, riak, tamak dan
sebagainya. Jika dibandingkan dengan masyarakat pada zaman sekarang, boleh
diperhati dan dinilai betapa gahnya sesebuah majlis perkahwinan itu
dilangsungkan. Dalam hal ini bukan langsung tidak boleh kelihatan mewah
sedikit, tidak salah sebenarnya namun haruslah pula didasari dengan
kesederhanaan kerana dibimbangi sekiranya terlalu bermegah-megah dan
berlebih-lebihan kesannya akan menyebabkan pula pembaziran.
Jika
dinilai dari aspek tasawur Islam penentuan nilai sama ada tinggi atau rendah
sesuatu mahar atau wang hantaran itu bukanlah menjadi ukuran yang penting, namun
keberkatan dan keredhaan daripada Allah S.W.T yang menjadi keutamaan dalam membentuk
asas sesebuah perkahwinan.
Kesimpulannya,betapa
megah sekalipun nilai wang hantaran dalam perkahwinan sekiranya tidak didasari
dengan tunjang Islam maka ianya tidak memberi apa-apa kesan dalam sesebuah
perkahwinan melainkan mendapat kemurkaan daripada Allah SWT dan hidup akan jauh
dari keberkatan dan keredhaan dari Allah.
Rujukan
Berita
Semasa ( 2012 ). “Wang Hantaran di
Malaysia : RM12,000-RM15,000 Bagi Pasangan
Lulusan Ijazah!! Anda Setuju?” Diakses dari http://beritasemasa.com/wang-hantaran-malaysia 25
September 2012 dalam Isu Semasa Terkini,diambil pada 27 Oktober 2012.
Engku
Ahmad Zaki ( 2010 ).Aku Nikah Akan Dikau.Mustread
SDN.BHD.
Raihanah
Azahari,Khairun Najmi Saripudin,dan Raihana Abd Wahab ( 2009 ). “ Hubungan Di
Antara Faktor Demografi Dengan Penentuan Kadar
Hantaran: Kajian Di Perlis, Kedah, Pulau Pinang Dan Perak”.Journal Fiqh
No.6,hal.107-124.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.