Thursday 12 December 2013

Kecelaruan Gender

Nama: Mastura Binti Syamsudin
No.Matrik: PSM0074/12
SXW 502

Tajuk: Kecelaruan Gender

Generasi muda dewasa ini jika dilihat semakin jauh pegangan hidup mereka dari ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Fenomena kecelaruan gender seperti “pondan, mak nyah, bapok, dan sebagainya” telah menjadi barah dalam masyarakat. Hakikatnya golongan seperti ini dilahirkan sebagai lelaki tetapi mempunyai kelakuan, perasaan dan naluri sebagai wanita dan begitu juga sebaliknya. Mengapa permasalahan ini berlaku? Hal ini adalah kerana jika dilihat disekeliling kita ramai anak-anak muda yang terpengaruh dengan budaya barat yang berkeinginan diluar batas nilai hidup manusia. Lelaki ingin menjadi perempuan dan perempuan mahu menjadi lelaki. Mengapa situasi ini berlaku terhadap anak-anak generasi muda Islam pada hari ini? Dimanakah silapnya ajaran agama? Dimanakah silap ibu bapa dalam membentuk peribadi anak-anak? Persoalan demi persoalan diutarakan dan tuding menuding jari berlaku. Ketahuilah bahawa persoalan-persoalan tersebut bukan menjadi permasalahannya tetapi berbalik semula kepada diri insan tersebut. Allah telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik dan secantik-cantik ciptaan. Kesempurnaan manusia sangat dicemburui oleh makhluk-makhluk lain, manusia dikurniakan akal oleh Allah untuk sentiasa berfikir buruk dan baik. Namun begitu, nikmat yang diberikan tidak dihargai dengan sebaik-baiknya. 

Kecelaruan gender ataupun disforia gender didefinisikan sebagai keadaan di mana penghayatan individu itu bercelaru antara perasaan gender sendiri dengan anggota kelaminnya. Kecelaruan jantina ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu golongan individu yang berjantina lelaki tetapi ingin menjadi seorang perempuan. Golongan ini dikenali sebagai “pondan” dan terdapat beberapa istilah yang lain. Kategori kedua pula adalah golongan individu yang berjantina perempuan tetapi ingin menjadi seorang lelaki dan golongan ini digelar sebagai “pengkid”. Golongan seperti ini akan mengubah gaya dan cara kehidupan mereka seperti gaya pemakaian, perwatakan, dan sebagainya.

Allah SWT telah menjadikan watak seorang lelaki dengan mempunyai tingkah laku yang keras manakala perempuan pula diciptakan dengan sifat lemah lembut. Lelaki dan perempuan telah Allah ciptakan dengan mempunyai tanggungjawab dan peranan tertentu. Lelaki diciptakan oleh Allah sebagai pemimpin bagi wanita dan wanita dijadikan sebagai tulang belakang dan pembantu kepada kaum lelaki.
Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana itu Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib di pelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar”.
                                                                                                   (Surah An-Nisa’ 4: 34)

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Gejala Kecelaruan Gender

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi gejala kecelaruan gender ini. Faktor pertama pengaruh media. Hal ini demikian kerana, industri hiburan terlalu banyak memaparkan watak-watak seperti pondan sehingga gejala ini diterima sebagai perkara normal dalam masyarakat. Oleh itu, ramai yang terikut-ikut dengan budaya ini terutamanya bagi golongan remaja yang baru mengenal erti kehidupan sebenar. Kebanyakan gaya hidup yang mereka ikuti adalah daripada media. Oleh itu, golongan seperti ini cuba untuk meniru watak-watak lembut pada asalnya, kemudian apabila sudah terbiasa dengan perwatakan tersebut mereka akan lebih berani untuk mencuba lebih dari itu.

Faktor kedua pula ialah kurang didikan agama. Hakikatnya Islam telah melarang sekeras-kerasnya gejala menukarkan jantina seperti yang berlaku pada hari ini. Islam adalah agama yang sempurna dan indah. Islam telah mengajar umatnya supaya bersyukur dengan setiap nikmat yang telah Allah kurniakan kepada setiap hambanya. Jika dihayati hikmah disebalik penciptaan lelaki dan perempuan, perkara seperti ini tidak akan berlaku. 

Faktor ketiga ialah faktor biologi. Berkemungkinan seseorang lelaki itu mempunyai bilangan kromosom x dalam DNA yang berlebihan. Faktor ini menjadi salah satu penyebab mengapa seseorang lelaki itu berperwatakan cuba menjadi perempuan. Presiden Persatuan Genetik Malaysia merangkap Pakar Perunding Klinikal Sitogenetik, Dr Roziana Ariffin menegaskan masalah ketidaknormalan kromosom membabitkan masalah di peringkat genetik molekul, protein dan epigenetik (perubahan genetik yang diwarisi). Bagaimanapun, beliau juga tidak menolak wujudnya faktor lain seperti hormon, persekitaran dan psikologi yang juga menyumbang ke arah kecelaruan jantina. 

Pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor penyebab gejala seperti ini berlaku. Hal ini demikian kerana rakan sebaya merupakan pengaruh yang kuat dalam menyumbang budaya seperti ini.  Perlakuan seperti ini akan dilakukan secara tersembunyi, mereka akan memakai pakaian jantina yang sebaliknya, sekali gus berasa dirinya dekat dengan jantina itu. Perasaan untuk mendekati jantina yang dianggap jantina nalurinya akan menjadi lebih ketara apabila dia memasuki alam remaja dan menghayati pergolakan hormon seksual serta mengalami ketumbesaran anggota kelamin. Setiap yang dilakukan oleh rakan sebaya akan mereka ikuti sedikit demi sedikit. Oleh itu, seseorang individu akan mudah terpengaruh dengan kata-kata dan pujukan rakan-rakan.

Pandangan Islam Terhadap Masalah Kecelaruan Gender

Menurut pandangan Islam, gender (jantina) terbahagi kepada empat kumpulan iaitu lelaki, perempuan, khunsa dan mukhannis atau mukhannas. Khunsa, pada dasarnya bermaksud dwi jantina. Manakala mukhannas adalah golongan yang mahukan jantina yang lain dari jantina mereka lahir. Mereka mahu menjadi wanita dan membenci identiti kelakian mereka. Golongan mukhannis pula, mereka adalah golongan lelaki yang tinggi sifat kewanitaanya tetapi tidak mahukan pembedahan jantina. Golongan khunsa, menurut Islam, dibenarkan untuk menjalani pembedahan jantina supaya mereka dapat menjadi lelaki atau wanita. Walau bagaimanapun Islam melarang golongan mukhannas atau mukhannis bersolek, menyuntik hormon untuk membesarkan payudara atau menjalani pembedahan jantina dan sebagainya.
Pada tahun 1983, Majlis, Raja-Raja telah menetapkan fatwa bahawa pembedahan jantina adalah haram hukumnya kerana pembedahan itu adalah salah di sisi Islam. Perbuatan silang-pakaian (cross dressing) juga dilarang. Bagi golongan khunsa, pembedahan jantina adalah dibenarkan. Maka secara dasarnya, golongan maknyah sebenarnya adalah tidak diiktiraf bagi masyarakat Malaysia. Ramai dari mereka menerima kenyataan bahawa Islam melarang transeksualisme. Ha ini selaras dengan dalil - dalil yang dinyatakan dalam ayat al-Quran.

Firman Allah:
Maksudnya: “Kami menghantar Lut: Dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, sesungguhnya ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menkehendaki sesuatu dari bahaya itu (homoseksualliti). Sesungguhnya pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?”
                                                                                                    (al-A’raf 7:80-81)


Menurut Islam, hidup ini sentiasa diuji. Setiap insan akan diuji. Setengah orang dilahirkan cacat dan dia harus juga menjalani kehidupan menurut syariat seperti yang ditetapkan Allah SWT. Begitu juga dengan golongan pondan yang perlu mengekang perasaan mereka untuk menurut syariat Allah SWT. Hal ini sudah pasti sukar dan hanya mereka yang beriman sahaja berupaya menurut syariat Allah SWT. Dalam kehidupan manusia di dunia ini tidak ada satu perkara yang tidak Allah uji. Begitu juga dengan masalah kecelaruan gender yang berlaku pada masa kini. Sebagai seorang Muslim sejauh manapun kita berbuat kejahatan, namun ada juga rasa keinsafan didalam hati. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk setiap hambanya yang melakukan dosa. 




Thursday 15 November 2012



Mahar Dan Wang Hantaran:Satu Analisis Mencari Keberkatan Dan Keredhaan Daripada
Allah

Mastura Binti Syamsudin
Calon Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam
P-SM0074/12

Mahar disyariatkan dalam Islam bukanlah untuk menjadi pelengkap dalam majlis akad nikah namun ia merupakan satu bentuk pemberian wajib yang diberikan oleh pihak suami kepada isteri untuk mengiktiraf dan menghargai isteri dalam perkahwinan Islam. Namun begitu pada hari ini, masyarakat Melayu lebih mengutamakan amalan hantaran yang hanya menjadi adat dalam masyarakat Melayu dan ianya bukan menjadi satu kewajiban dalam Islam. Jika dibandingkan dengan peranan mahar itu sendiri ia menyebabkan peranan mahar yang menjadi syariat dalam Islam tidak lagi memainkan peranan penting sebagaimana yang disyariatkan.

Menurut perspektif Islam, mahar sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang dapat dirujuk di dalam Al-Quran sebagai istilah al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-aqd. Menurut istilah syarak pula mahar merupakan satu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab pernikahan. Mengikut Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa “mas kahwin”  bermaksud pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar dibawah hukum syarak oleh pihak suami kepada isteri pada masa perkahwinan yang diakadnikahkan, sama ada ia berbentuk wang ataupun Al-Quran dan sebagainya. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

Maksud: “dan berikanlah kepada perempuan-perempuan (isteri) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian yang wajib.Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya,maka makanlah (gunakanlah) pemberian tersebut sebagai nikmat yang baik lagi lazat”.
                                                                                                                          (An-Nisa’4: 4)
Maksudnya : “mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah
dia menjadi isteri kamu) maka berikanlah mereka maharnya sebagai satu ketetapan yang
difardhu (diwajibkan oleh Allah)
                                                                                                            (An-Nisa’ 4: 24)

Berdasarkan kedua-dua ayat ini, jelaslah bahawa mahar wajib diberikan kepada isteri-isteri yang sudah dinikahi. Walaupun tidak dinyatakan nilai maksima atau minima sesuatu mahar tersebut, pihak suami wajib memberi mahar kepada isterinya. Para fuqaha’ melihat mahar bukanlah sebagai hadiah pemberian sukarela tetapi lebih cenderung kepada satu pemberian yang dapat memberi jaminan kepada isteri kerana mahar secara dasarnya mestilah dengan sesuatu yang berharga dan mempunyai nilai. Walaupun Islam tidak meletak nilai maksima dan minima dalam pemberian mahar, namun ianya boleh dilihat dari contoh  kisah pemberian mahar Nabi Muhammad S.A.W kepada isteri baginda, Siti Aisyah. Ibnu Sa’ad telah memberi dua kenyataan dalam pemberian mahar Nabi kepada Siti Aisyah. Pertama, Nabi telah memberi sebuah rumah yang berharga bernilai 50 dirham kepada Siti Aisyah. Kenyataan kedua, Aisyah pernah menyatakan bahawa Nabi telah memberi mahar sebanyak 12 uqiyyah dan inasy iaitu sama dengan 500 dirham, 1 uqiyyah setara dengan 40 dirham, 1 nasy setara dengan 20 dirham. Menurut Ibnu Ishaq Nabi telah memberi mahar kepada ister-isteri baginda sebanyak 12 uqiyyah dan 1 nasy. 1 nasy bersamaan dengan ½ uqiiyah iaitu jumlahnya adalah 500 dirham (Engku Ahmad Zaki,2010:40).Menurut Imam Syafie “sederhana dalam pemberian mas kahwin lebih aku sukai daripada keterlaluan padanya” .Berlandaskan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud :

Maksud: “perkahwinan paling besar berkatnya adalah yang paling ringan maharnya”
   (HR Ahmad 6 :82)

Berdasarkan kajian yang bertajuk “Hubungan Di Antara Faktor Demografi Dengan Penentuan Kadar Hantaran: Kajian Di Perlis, Kedah, Pulau Pinang Dan Perak”(Raihanah Azahari, Khairun Najmi Saripudin, dan Raihana Abd Wahab,2009:112) dalam kajian mereka,permasalahan timbul dalam kalangan masyarakat Melayu Islam pada masa kini adalah terdapat dua faktor  yang menjadi amalan dalam masyarakat Melayu iaitu “mahar” dan “wang hantaran”. Mahar sememangnya telah disebut di dalam Al-Quran sebagai pemberian yang wajib, namun yang menjadi permasalahan apabila adat dikaitkan bersama dengan hukum agama. Kedua-dua perkataan ini mempunyai konsep yang tersendiri, mahar sememangnya daripada hukum syarak yang bermaksud pemberian wajib suami kepada isterinya dan mahar yang diberikan menjadi milik mutlak si isteri. Berbeza pula dengan wang hantaran yang lebih kepada konsep hadiah daripada pihak suami kepada pihak isteri dan si isteri berhak memberi sebahagian daripada wang hantarannya untuk majlis walimatul urus. Namun jika dilihat dan dikaji dengan mendalam wang hantaran merupakan sesuatu perkara yang menjadi kewajiban dalam sesuatu majlis perkahwinan. Walaupun tiada hukum yang mewajibkan wang hantaran namun ia sudah menjadi satu kewajiban dalam masyarakat Melayu.

Pada masa kini kita boleh perhatikan gelagat masyarakat yang sangat mengambil berat dalam menentukan wang hantaran berbanding dalam menentukan nilai mahar. Hal ini berkemungkinan mereka beranggapan bahawa mahar sememangnya telah ditetapkan oleh Majlis Agama bagi setiap negeri masing-masing. Sekiranya diperhatikan dalam konteks masyarakat Melayu pada hari ini mereka seolah-olah berlumba-lumba dalam meletak nilai wang hantaran yang tinggi. Hal ini tidak menjadi permasalahan sekiranya pihak lelaki sememangnya mahu memberi wang hantaran yang besar, namun yang menjadi persoalan adalah pihak perempuan melatak nilai wang hantaran yang tinggi namun menyusahkan pihak lelaki dan secara tidak langsung memberi tekanan dan menyusahkan pihak lelaki. Jika diperhatikan dengan teliti dan kita sendiri dapat perhatikan dengan jelas dengan gelagat masyarakat hari ini sekiranya pihak perempuan meletakkan nilai wang hantaran tinggi dan ianya diluar kemampuan pihak lelaki maka pelbagai kesan buruk akan timbul. Dalam hal ini, saya kemukakan kes-kes yang dikeluarkan oleh Berita Semasa, September 2012.

            Kes 1 : Wang hantaran RM12000.00 dan belanja perkahwinan RM25000.00
Kes 2 : Membuat pinjaman RM20000.00 untuk belanja perkahwinan

Menurut perspektif epistemilogi Islam berdasarkan kedua-dua kes yang dinyatakan ini sememangnya memberi gambaran yang jelas ketidakrasionalan manusia dalam berfikir. Hal ini demikian kerana menyusahkan pihak lelaki untuk mencari duit yang sebegitu banyak. Sebagai umat Islam seharusnya berpegang kepada syariat Islam, Islam telah menyuruh umatnya supaya tidak membentuk suasana yang menyukarkan dan memudahkan yang halal. Namun sebaliknya berlaku dalam masyarakat, walimatul urus dijadikan “jambatan keangkuhan” sehingga majlis ditangguhkan kerana mahukan majlis yang lebih besar sedangkan mencukupi sekiranya diadakan walimatul urus dan masyarakat mengetahui tentangnya serta yang paling penting perkahwinan yang halal dilunaskan berlandaskan syariat Islam. Namun hakikatnya masyarakat mengetahui bahawa Islam mengajar supaya bersederhana dalam segala hal seperti mana terdapat dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya : “dan sentiasalah bersikap pertengahan,sederhana,hasil yang akan diperolehi dengannya,kamu akan mencapai sasaranmu (syurga).”
                                                                                         ( Hadith Riwayat Bukhari )

Berdasarkan hadith tersebut jelaslah bahawa sememangnya Islam amat menganjurkan ummatnya supaya bersikap bersederhana dalam sesuatu kerana apa yang ingin digapai hakikatnya adalah keredhaan dan keberkatan daripada Allah. Dari segi hukum ia menjadi haram dan berdosa kerana memberi bebanan sedangkan sekiranya sudah ada kemampuan ianya memadai untuk dilaksanakan dengan segera perkahwinan itu dan berdosa sekiranya majlis walimatul urus yang dilaksanakan didasari dengan keangkuhan dan kesombongan dalam diri manusia kerana inginkan kemegahan dan pujian. Begitu juga dalam kita menguruskan sesuatu majlis perkahwinan, memadailah seandainya bersederhana dan tidak bermegah-megah kerana ditakuti apabila  terlalu inginkan kemegahan dibimbangi redha Allah akan berjauhan kerana hati dipenuhi dengan sikap angkuh, riak, tamak dan sebagainya. Jika dibandingkan dengan masyarakat pada zaman sekarang, boleh diperhati dan dinilai betapa gahnya sesebuah majlis perkahwinan itu dilangsungkan. Dalam hal ini bukan langsung tidak boleh kelihatan mewah sedikit, tidak salah sebenarnya namun haruslah pula didasari dengan kesederhanaan kerana dibimbangi sekiranya terlalu bermegah-megah dan berlebih-lebihan kesannya akan menyebabkan pula pembaziran.

Jika dinilai dari aspek tasawur Islam penentuan nilai sama ada tinggi atau rendah sesuatu mahar atau wang hantaran itu bukanlah menjadi ukuran yang penting, namun keberkatan dan keredhaan daripada Allah S.W.T yang menjadi keutamaan dalam membentuk asas sesebuah perkahwinan.

Kesimpulannya,betapa megah sekalipun nilai wang hantaran dalam perkahwinan sekiranya tidak didasari dengan tunjang Islam maka ianya tidak memberi apa-apa kesan dalam sesebuah perkahwinan melainkan mendapat kemurkaan daripada Allah SWT dan hidup akan jauh dari keberkatan dan keredhaan dari Allah.

Rujukan

Berita Semasa ( 2012 ). “Wang Hantaran di Malaysia : RM12,000-RM15,000 Bagi Pasangan     
Lulusan Ijazah!! Anda Setuju?” Diakses dari http://beritasemasa.com/wang-hantaran-malaysia 25 September 2012 dalam Isu Semasa Terkini,diambil pada 27 Oktober 2012.

Engku Ahmad Zaki ( 2010 ).Aku Nikah Akan Dikau.Mustread SDN.BHD.

Raihanah Azahari,Khairun Najmi Saripudin,dan Raihana Abd Wahab ( 2009 ). Hubungan Di 
Antara Faktor Demografi Dengan Penentuan Kadar Hantaran: Kajian Di Perlis, Kedah, Pulau Pinang Dan Perak”.Journal Fiqh No.6,hal.107-124.




Tuesday 9 October 2012

9 Mimpi Rasulullah SAW



" Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan ........

1. " Aku telah melihat seorang dari umatku telah di datang oleh malaikatul-maut dengan keadaan yang amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.

2. Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.

3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS KEPADA ALLAH S.W.T.

4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikut-ahzab, tetapi SOLATNYA YANG KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.

5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga dihalang dari meminumnya, ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH S.W.T. memberi minum hingga ia merasa puas.

6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan-kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil ke kumpulanku seraya duduk disebelahku.

7. Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadan gelap gelita di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH S.W.T. lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang-benderang.

8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidakpun membalas bicaranya, maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicara mereka dengannya.

9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya, maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH S.W.T. lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut. " Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan ........