Thursday 15 November 2012



Mahar Dan Wang Hantaran:Satu Analisis Mencari Keberkatan Dan Keredhaan Daripada
Allah

Mastura Binti Syamsudin
Calon Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam
P-SM0074/12

Mahar disyariatkan dalam Islam bukanlah untuk menjadi pelengkap dalam majlis akad nikah namun ia merupakan satu bentuk pemberian wajib yang diberikan oleh pihak suami kepada isteri untuk mengiktiraf dan menghargai isteri dalam perkahwinan Islam. Namun begitu pada hari ini, masyarakat Melayu lebih mengutamakan amalan hantaran yang hanya menjadi adat dalam masyarakat Melayu dan ianya bukan menjadi satu kewajiban dalam Islam. Jika dibandingkan dengan peranan mahar itu sendiri ia menyebabkan peranan mahar yang menjadi syariat dalam Islam tidak lagi memainkan peranan penting sebagaimana yang disyariatkan.

Menurut perspektif Islam, mahar sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang dapat dirujuk di dalam Al-Quran sebagai istilah al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-aqd. Menurut istilah syarak pula mahar merupakan satu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab pernikahan. Mengikut Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa “mas kahwin”  bermaksud pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar dibawah hukum syarak oleh pihak suami kepada isteri pada masa perkahwinan yang diakadnikahkan, sama ada ia berbentuk wang ataupun Al-Quran dan sebagainya. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

Maksud: “dan berikanlah kepada perempuan-perempuan (isteri) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian yang wajib.Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya,maka makanlah (gunakanlah) pemberian tersebut sebagai nikmat yang baik lagi lazat”.
                                                                                                                          (An-Nisa’4: 4)
Maksudnya : “mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah
dia menjadi isteri kamu) maka berikanlah mereka maharnya sebagai satu ketetapan yang
difardhu (diwajibkan oleh Allah)
                                                                                                            (An-Nisa’ 4: 24)

Berdasarkan kedua-dua ayat ini, jelaslah bahawa mahar wajib diberikan kepada isteri-isteri yang sudah dinikahi. Walaupun tidak dinyatakan nilai maksima atau minima sesuatu mahar tersebut, pihak suami wajib memberi mahar kepada isterinya. Para fuqaha’ melihat mahar bukanlah sebagai hadiah pemberian sukarela tetapi lebih cenderung kepada satu pemberian yang dapat memberi jaminan kepada isteri kerana mahar secara dasarnya mestilah dengan sesuatu yang berharga dan mempunyai nilai. Walaupun Islam tidak meletak nilai maksima dan minima dalam pemberian mahar, namun ianya boleh dilihat dari contoh  kisah pemberian mahar Nabi Muhammad S.A.W kepada isteri baginda, Siti Aisyah. Ibnu Sa’ad telah memberi dua kenyataan dalam pemberian mahar Nabi kepada Siti Aisyah. Pertama, Nabi telah memberi sebuah rumah yang berharga bernilai 50 dirham kepada Siti Aisyah. Kenyataan kedua, Aisyah pernah menyatakan bahawa Nabi telah memberi mahar sebanyak 12 uqiyyah dan inasy iaitu sama dengan 500 dirham, 1 uqiyyah setara dengan 40 dirham, 1 nasy setara dengan 20 dirham. Menurut Ibnu Ishaq Nabi telah memberi mahar kepada ister-isteri baginda sebanyak 12 uqiyyah dan 1 nasy. 1 nasy bersamaan dengan ½ uqiiyah iaitu jumlahnya adalah 500 dirham (Engku Ahmad Zaki,2010:40).Menurut Imam Syafie “sederhana dalam pemberian mas kahwin lebih aku sukai daripada keterlaluan padanya” .Berlandaskan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud :

Maksud: “perkahwinan paling besar berkatnya adalah yang paling ringan maharnya”
   (HR Ahmad 6 :82)

Berdasarkan kajian yang bertajuk “Hubungan Di Antara Faktor Demografi Dengan Penentuan Kadar Hantaran: Kajian Di Perlis, Kedah, Pulau Pinang Dan Perak”(Raihanah Azahari, Khairun Najmi Saripudin, dan Raihana Abd Wahab,2009:112) dalam kajian mereka,permasalahan timbul dalam kalangan masyarakat Melayu Islam pada masa kini adalah terdapat dua faktor  yang menjadi amalan dalam masyarakat Melayu iaitu “mahar” dan “wang hantaran”. Mahar sememangnya telah disebut di dalam Al-Quran sebagai pemberian yang wajib, namun yang menjadi permasalahan apabila adat dikaitkan bersama dengan hukum agama. Kedua-dua perkataan ini mempunyai konsep yang tersendiri, mahar sememangnya daripada hukum syarak yang bermaksud pemberian wajib suami kepada isterinya dan mahar yang diberikan menjadi milik mutlak si isteri. Berbeza pula dengan wang hantaran yang lebih kepada konsep hadiah daripada pihak suami kepada pihak isteri dan si isteri berhak memberi sebahagian daripada wang hantarannya untuk majlis walimatul urus. Namun jika dilihat dan dikaji dengan mendalam wang hantaran merupakan sesuatu perkara yang menjadi kewajiban dalam sesuatu majlis perkahwinan. Walaupun tiada hukum yang mewajibkan wang hantaran namun ia sudah menjadi satu kewajiban dalam masyarakat Melayu.

Pada masa kini kita boleh perhatikan gelagat masyarakat yang sangat mengambil berat dalam menentukan wang hantaran berbanding dalam menentukan nilai mahar. Hal ini berkemungkinan mereka beranggapan bahawa mahar sememangnya telah ditetapkan oleh Majlis Agama bagi setiap negeri masing-masing. Sekiranya diperhatikan dalam konteks masyarakat Melayu pada hari ini mereka seolah-olah berlumba-lumba dalam meletak nilai wang hantaran yang tinggi. Hal ini tidak menjadi permasalahan sekiranya pihak lelaki sememangnya mahu memberi wang hantaran yang besar, namun yang menjadi persoalan adalah pihak perempuan melatak nilai wang hantaran yang tinggi namun menyusahkan pihak lelaki dan secara tidak langsung memberi tekanan dan menyusahkan pihak lelaki. Jika diperhatikan dengan teliti dan kita sendiri dapat perhatikan dengan jelas dengan gelagat masyarakat hari ini sekiranya pihak perempuan meletakkan nilai wang hantaran tinggi dan ianya diluar kemampuan pihak lelaki maka pelbagai kesan buruk akan timbul. Dalam hal ini, saya kemukakan kes-kes yang dikeluarkan oleh Berita Semasa, September 2012.

            Kes 1 : Wang hantaran RM12000.00 dan belanja perkahwinan RM25000.00
Kes 2 : Membuat pinjaman RM20000.00 untuk belanja perkahwinan

Menurut perspektif epistemilogi Islam berdasarkan kedua-dua kes yang dinyatakan ini sememangnya memberi gambaran yang jelas ketidakrasionalan manusia dalam berfikir. Hal ini demikian kerana menyusahkan pihak lelaki untuk mencari duit yang sebegitu banyak. Sebagai umat Islam seharusnya berpegang kepada syariat Islam, Islam telah menyuruh umatnya supaya tidak membentuk suasana yang menyukarkan dan memudahkan yang halal. Namun sebaliknya berlaku dalam masyarakat, walimatul urus dijadikan “jambatan keangkuhan” sehingga majlis ditangguhkan kerana mahukan majlis yang lebih besar sedangkan mencukupi sekiranya diadakan walimatul urus dan masyarakat mengetahui tentangnya serta yang paling penting perkahwinan yang halal dilunaskan berlandaskan syariat Islam. Namun hakikatnya masyarakat mengetahui bahawa Islam mengajar supaya bersederhana dalam segala hal seperti mana terdapat dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya : “dan sentiasalah bersikap pertengahan,sederhana,hasil yang akan diperolehi dengannya,kamu akan mencapai sasaranmu (syurga).”
                                                                                         ( Hadith Riwayat Bukhari )

Berdasarkan hadith tersebut jelaslah bahawa sememangnya Islam amat menganjurkan ummatnya supaya bersikap bersederhana dalam sesuatu kerana apa yang ingin digapai hakikatnya adalah keredhaan dan keberkatan daripada Allah. Dari segi hukum ia menjadi haram dan berdosa kerana memberi bebanan sedangkan sekiranya sudah ada kemampuan ianya memadai untuk dilaksanakan dengan segera perkahwinan itu dan berdosa sekiranya majlis walimatul urus yang dilaksanakan didasari dengan keangkuhan dan kesombongan dalam diri manusia kerana inginkan kemegahan dan pujian. Begitu juga dalam kita menguruskan sesuatu majlis perkahwinan, memadailah seandainya bersederhana dan tidak bermegah-megah kerana ditakuti apabila  terlalu inginkan kemegahan dibimbangi redha Allah akan berjauhan kerana hati dipenuhi dengan sikap angkuh, riak, tamak dan sebagainya. Jika dibandingkan dengan masyarakat pada zaman sekarang, boleh diperhati dan dinilai betapa gahnya sesebuah majlis perkahwinan itu dilangsungkan. Dalam hal ini bukan langsung tidak boleh kelihatan mewah sedikit, tidak salah sebenarnya namun haruslah pula didasari dengan kesederhanaan kerana dibimbangi sekiranya terlalu bermegah-megah dan berlebih-lebihan kesannya akan menyebabkan pula pembaziran.

Jika dinilai dari aspek tasawur Islam penentuan nilai sama ada tinggi atau rendah sesuatu mahar atau wang hantaran itu bukanlah menjadi ukuran yang penting, namun keberkatan dan keredhaan daripada Allah S.W.T yang menjadi keutamaan dalam membentuk asas sesebuah perkahwinan.

Kesimpulannya,betapa megah sekalipun nilai wang hantaran dalam perkahwinan sekiranya tidak didasari dengan tunjang Islam maka ianya tidak memberi apa-apa kesan dalam sesebuah perkahwinan melainkan mendapat kemurkaan daripada Allah SWT dan hidup akan jauh dari keberkatan dan keredhaan dari Allah.

Rujukan

Berita Semasa ( 2012 ). “Wang Hantaran di Malaysia : RM12,000-RM15,000 Bagi Pasangan     
Lulusan Ijazah!! Anda Setuju?” Diakses dari http://beritasemasa.com/wang-hantaran-malaysia 25 September 2012 dalam Isu Semasa Terkini,diambil pada 27 Oktober 2012.

Engku Ahmad Zaki ( 2010 ).Aku Nikah Akan Dikau.Mustread SDN.BHD.

Raihanah Azahari,Khairun Najmi Saripudin,dan Raihana Abd Wahab ( 2009 ). Hubungan Di 
Antara Faktor Demografi Dengan Penentuan Kadar Hantaran: Kajian Di Perlis, Kedah, Pulau Pinang Dan Perak”.Journal Fiqh No.6,hal.107-124.